Kenapa orang lain ambil gambar nampak "cantik" sedangkan saya ambil gambar nampak "buruk"?

Apasal nampak buruk je gambar yang aku ambil ni? Atau kucing ni yang tak pandai senyum?

.
Kenapa orang lain ambil gambar nampak "cantik" sedangkan saya ambil gambar nampak "buruk"?

Apa yang tak kena dengan cara saya mengambil gambar?

Bunyi macam mudah je acu smartfon dan petik, tapi kenapa hasilnya nampak "buruk"?

Sebenarnya, "cantik" atau "buruk" sesuatu gambar itu adalah perkara subjektif.

Gambar itu mungkin "buruk" pada pengamatan kita namun tak mustahil ia "cantik" pada mata orang lain.

Walaupun citarasa manusia berbeza, dalam aspek tertentu rata-ratanya berkongsi hal yang sama.

Oleh itu, kita seyogia mengambil tahu aspek tersebut supaya ia membantu kita menghasilkan gambar foto yang kelihatan baik pada pandangan orang kebanyakan.

Ada dua kata kunci yang perlu diberikan perhatian iaitu "menarik" dan "bermakna".

Menarik bermaksud sesuatu gambar itu menarik perhatian mereka yang melihatnya.

Tarikan itu boleh jadi datang dari foto yang cukup pencahayaan, komposisi objek foto yang baik, atau warna yang harmoni.


Aspek pencahayaan adalah sangat penting dalam fotografi.
Cahaya yang berlebihan akan mengakibatkan warna asal objek menjadi keputih-putihan. Cahaya yang berkurangan akan mengakibatkan warna asal objek menjadi kehitam-hitaman. Kedua-duanya akan menjadikan foto kurang menarik.

1) Sebelum memetik foto, perhatikan dahulu sumber cahaya yang akan menyinari objek foto anda.

Adakah dari hadapan, tepi, atas, belakang dan sebagainya?

Apakah akibat dari kesan cahaya tersebut terhadap bahagian-bahagian pada objek foto anda? Terlebih cahaya? Terkurang cahaya? Ubahsuai kedudukan anda atau kedudukan objek foto untuk mencapai kesan yang baik.

Buat beberapa kali latihan mengambil foto dengan smartfon untuk melihat bagaimana smartfon anda merakamkan objek foto dalam keadaan kekuatan dan sudut pencahayaan yang berbeza. Lama-kelamaan anda akan faham keadaan bagaimana yang terbaik untuk dirakam oleh smartfon anda.

Aspek komposisi datang sesudah pencahayaan.
Foto adalah rakaman statik sesuatu senario. Mungkin di dalamnya ada satu sahaja objek foto atau lebih.

Biasanya, kita jarang merakam satu objek foto sahaja melainkan untuk tujuan kad pengenalan atau passport.

Selalunya terdapat banyak objek foto di dalam sesuatu senario yang akan dirakamkan. Maka, kita perlu aturkan kedudukan objek foto dalam susunan tertentu atau cari sudut pandang yang boleh memberikan kesan visual yang menarik pada foto yang akan dirakamkan.

2) Komposisi objek foto yang baik boleh menghasilkan kesan visual yang menyenangkan mata yang memandang.

Ada beberapa kaedah komposisi yang boleh dicuba.

Komposisi Pattern atau Corak adalah satu komposisi di mana kita merakamkan foto yang mempunyai corak tertentu yang boleh menarik perhatian.

Komposisi Symmetry atau Setangkup adalah komposisi di mana wujudnya kesan cerminan pada foto yang dirakamkan.

Komposisi Teksture atau Bentuk adalah komposisi di mana wujudnya kesan bentuk 3 dimensi pada foto yang dirakamkan.

Komposisi Depth Of Field atau Rentang Jarak adalah komposisi di mana sesuatu objek foto utama diserlahkan berbanding objek foto yang lain melalui teknik pengaburan berdasarkan jarak objek foto lain dari foto utama.

Komposisi Lines atau Garisan adalah komposisi di mana objek foto yang berbentuk garisan dirakamkan dalam kedudukan memanjang dan bercantum pada poin tertentu dalam foto. Ia menarik perhatian mata untuk mengikuti garisan-garisan itu hingga bertemu pada titik cantum mereka.

Seterusnya adalah Aspek Warna.

3) Warna memainkan peranan menghidupkan mood bagi foto anda.

Jika ada kesempatan, pilih objek foto yang sesuai dengan mood yang anda ingin ketengahkan. Jika tak mempunyai peluang sedemikian, cari sudut pandang yang boleh menampilkan warna atau kombinasi warna yang boleh menghidupkan mood.

Kombinasi warna yang sesuai boleh mewujudkan kesan harmoni iaitu satu kesan di mana gabungan warna itu menyenangkan hati kebanyakan manusia yang memandangnya. Ia membuatkan mereka terasa mahu melihat semula foto tersebut beberapa kali.

Kata kunci yang kedua adalah "bermakna".

Foto adalah rakaman statik bagi sesuatu senario. Ia seharusnya membantu menyampaikan lebih banyak maklumat bagi senario tersebut.

Kita biasa mendengar ungkapan "a picture speaks a thousand words" atau "sekeping gambar bercakap seribu perkataan". Untuk menghasilkan foto sedemikian, anda perlu berlatih mencari kaitan antara setiap objek foto yang anda rakamkan supaya kemudian nanti ia boleh ditafsirkan oleh mereka yang melihatnya lalu membentuk "makna" bagi apa yang anda mahu sampaikan melalui foto tersebut.

4) Foto yang "bermakna" boleh menyentuh hati dan emosi seseorang dan membuatkannya menatap foto itu berulang kali.

Hal ini agak seni dan memerlukan banyak percubaan dan pemerhatian. Sebagai jalan pintas, lawati galeri foto dalam web atau di dunia luar untuk membantu anda mendapatkan lebih banyak pendedahan.

Demikian sedikit sebanyak tips yang boleh cuba diamalkan untuk menghasilkan foto yang lebih baik.

Selamat mencuba.

RUJUKAN:

.

.

Post a Comment

0 Comments