FENOMENA DEEPFAKE VIDEO



Teknologi yang kian pesat membangun saban hari memberikan kita banyak faedah, dimana teknologi-teknologi tersebut telah memudahkan kerja serta kehidupan seharian kita, baik dari segi urusan kerja, sehinggalah kepada urusan peribadi dan keluarga.

Pelbagai isu semasa di serata dunia kini makin mudah disebar meskipun berita tersebut berpunca dari tempat yang jauh. Sebagai contoh, kita yang kini berada di Malaysia dapat menerima berita yang berlaku di tempat yang lebih jauh, seperti berita pengeboman yang berlaku di Cathedral Notre Dame, Perancis. Pengeboman tersebut berlaku lebih dari 1000 km jaraknya dari negara kita, namun begitu berita tersebut telah pun sampai ke negara kita dalam masa hanya beberapa jam sahaja. Itulah ia kebaikan serta kelebihan teknologi, dimana perkara yang perlu menelan masa serta jarak yang jauh dapat disebarkan dan disampaikan dengan pantas.

Namun begitu, tidak semua penggunaan teknologi dimanfaatkan dengan baik. Pelbagai jenis serta bentuk kelebihan teknologi kini telah digunakan untuk pelbagai rencana serta niat yang tidak baik, seperti penggunaannya dalam peperangan, penggodaman, pencerobohan privasi pihak tertentu serta untuk penyebaran propaganda negatif dan juga fitnah.

Baru baru ini, kita dikejutkan dengan sebuah klip video yang memaparkan bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang dilihat sedang menyampaikan ucapan. Segalanya kelihatan normal bagi seorang pemimpin negara besar dunia itu, sehinggalah beliau mengucapkan beberapa perkataan yang dikira sebagai tidak patut dan mengarut untuk seorang pemimpin negara besar seperti beliau ucapkan.

Berikutan hal itu, muncul ura-ura mengatakan bahawa video tersebut adalah palsu. Namun begitu setelah diteliti dari kualiti video tersebut, ia kelihatan cukup asli serta benar, di mana tiada kekurangan serta cacat cela pada kualiti video tersebut untuk ia diiktirafkan sebagai satu video palsu. Berikutan hal itu, bebrapa orang pakar dalam bidang dokumentasi dan produksi video dipanggil untuk menilai video tersebut. Ternyata, video tersebut juga dinilai sebagai benar, sehinggalah ia diulang tonton sebanyak beberapa kali dan diperhatikan pada bahagian mulut serta rahang pemimpin tersebut, terdapat sedikit kejanggalan dimana rahang serta mulut beliau kelihatan agak besar dan bergerak dalam gaya yang tidak normal berbanding kebiasaannya.

Sejurus itulah baru dapat dikesan bahawa video tersebut adalah hasil produksi daripada satu proses yang dipanggil sebagai ‘Deep Fake’. Ia cukup menggerunkan apabila dari pandangan mata kasar dan mata halus sekalipun, video tersebut masih sukar untuk dinilai kesahihannya.
Video-video dari proses Deep Fake ini telah mula menular sejak itu, di mana terdapat satu aplikasi yang mampu digunakan untuk mengubah satu video asal, di mana secara visualnya, ia kelihatan sebagai satu video yang agak asli. Namun begitu setelah diteliti dari segi audio dan isi penyampaiannya, ia kelihatan tidak logik dan asli.

Deep Fake video dihasilkan dengan menggunakan visual video yang asal, namun diubah pada audio serta penyampaian isi dalam video tersebut. Ini dapat dilihat dari contoh video-video Deep Fake yang terhasil sebelum ini. Dalam kata lain yang lebih mendalam, video-video tersebut dihasilkan dengan menggunakan teknik sintesis imej yang dibina menggunakan pelantar ‘Artificial Intelligence’. Ia dihasilkan dengan cara menggabung dan menampal satu imej baru ke atas satu imej yang lama pada isi video. Dengan cara ini, satu video Deep Fake yang baru dapat menampilkan satu video yang memaparkan individu atau organisasi asal dari video asli tersebut, namun diubah pada cara penyampaian dan isi ucapan dalam video tersebut.

Paling baru dan terkini, satu video Deep Fake telah terhasil dimana ia menampilkan Mark Zuckerberg, pengasas Facebook Inc. dalam video tersebut, Mark telah mengakui bahawa Facebook telah pun mengakui bahawa Facebook telah mencuri dan mengawal data yang dicuri dari berjuta pengguna Facebook, dan mengakui bahawa telah menjual data tersebut kepada satu organisasi. Iaitu Spectre. Penularan video pengakuan tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak serta kerisauan pengguna laman social Facebook.

Namun begitu, sama seperti kes video Barack Obama, video tersebut diakui palsu dan telah disunting menggunakan kaedah Deep Fake, dan ia diakui oleh dua orang individu yang bertanggungjawab ke atas penghasilan video tersebut, ioaitu Daniel Howe dan juga Bill Posters. Kedua duanya telah mengakui bahawa video tersebut dihasilkan melalui kaedah Deep Fake, dan ia telah pun dirancang lama sebelum tular di media internet berkenaan berita tentang layanan Facebook ke atas kes Nancy Pelosi.
Nancy Pelosi

Nancy Pelosi, iaitu seorang ahli politik dari Amerika Syarikat yang berpangkat sebagai seorang Speaker untuk United States House of Representatives. Beliau juga menjadi mangsa serangan siber melalui penghasilan serta penyuntingan video, dimana beliau telah dilihat mabuk dan dalam keadaan tidak sedar. Video tersebut telah dianggap oleh Facebook sebagai video yang benar dan asli, lantas tidak mengambil keputusan untuk menghapuskan video tersebut dari laman social itu. Berikutan itu, serangan siber ke atas Mark Zuckerberg pula dilancarkan mungkin sebagai serangan balas atau pun susulan, melalui penghasilan video Deep Fake yang dinyatakan sebentar tadi.

Turut tidak terkecuali dari serangan siber menggunakan video Deep Fake ini, adalah selebriti-selebriti terkenal seperti Nicolas Cage, Gal Gadot dan juga Scarlett Johansson. Lebih memburukkan keadaan, ada diantara selebriti yang disunting ke atas video-video pornografi, seperti selebriti Korea iaitu Jennie, dan juga Scarlett Johansson. Kesan daripada video-video tersebut sedikit sebanyak mencalarkan imej serta berkeupayaan merosakkan karier mereka. Kesan dari moral peminat-peminat mereka juga turut terjejas, dimana ada di antara mereka yang mula bertindak untuk tidak lagi menyokong artis-artis tersebut dan ada juga yang terus memberi sokongan kerana tahu mengenai perkara sebenar.

Seiring dengan perkembangan teknologi, penghasilan video Deep Fake ini juga semakin canggih. Daripada proses penampalan serta penyuntingan imej secara manual ke atas video, kini ia boleh dilakukan dalam masa yang singkat, iaitu dengan hanya menggunakan pelantar A.I. Pengguna hanya perlu memasukkan imej yang ingin ditampal kepada video tersebut dan A.I tersebut akan melakukan proses ‘Rendering” secara automatik. Dalam masa beberapa minit, satu video yang sudah lengkap ditampal dengan imej baru akan dapat dihasilkan dengan mudah dan dalam tempoh masa yang singkat.

Selain itu juga, pelbagai aplikasi untuk melakukan proses Deep Fake terhadap satu-satu video sudah mula dikeluarkan dan pengguna boleh mendapatkannya dengan mudah pada pasaran gelap Android seperti Aptoide, Apkmirror, Amazon Appstore dan juga Getjar. Kesemua pasaran aplikasi ini menyajikan aplikasi Deep Fake untuk penghasilan video secara percuma, namun begitu pengguna harus berhati-hati dengan risiko muat turun dari pasaran seperti ini dimana ia mampu menghantar virus serta ‘phishing apps’ kepada peranti pengguna.


Penghasilan Deep Fake video jarang dapat dilihat sebagai salah satu usaha yang baik dalam apa jua rencana serta agenda sekalipun. Setiap penghasilan video secara Deep Fake pastinya disebabkan niat serta agenda yang tidak baik, dimana ia hanya akan mendatangkan mudarat kepada masyarakat dan badan-badan tertentu, seterusnya menjurus kepada keruntuhan sesuatu institusi itu. Meskipun begitu, setiap teknologi yang terbit bagaikan cendawan selepas hujan perlu juga diteroka agar kita tahu dan faham akan sesuatu teknologi tersebut dan bagaimana ia berfungsi. Ini supaya kita sendiri tidak terjebak secara mudah dalam menyebarkan berita serta video palsu, serta melindungi diri kita dari menjadi mangsa dari teknologi canggih ini.

Post a Comment

0 Comments