Sebagaimana kita inginkan penghormatan daripada pihak lain, begitu jugalah kita perlu bersedia menghormati keputusan dan kehendak pihak lain.
Benarkah Non Muslim Tidak Dibenarkan Masuk Masjid?
Soalan: Benarkah kenyataan No Muslim should be denied entry to masjid regardless of how they dress? Apakah pandangan Mufti tentang orang yang ke masjid dengan pakaian yang tidak sopan? Bolehkah pengawal meminta individu sebegini keluar daripada masjid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Anfal: 31)
Erti (الزِّينَةِ) adalah memakai pakaian berdasarkan dalil Surah al-Nur ayat 31:
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
Maksudnya: “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…”
(الزِّينَةِ) di sini adalah pakaian dan ia tidak akan tercapai maksud pakaian kecuali tertutup keseluruhan aurat. Beginilah yang disebutkan oleh Imam Fakhruddin al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib 14/228. Perhiasan’ dalam ayat ini, maksudnya pakaian yang menutupi aurat, sebagaimana dikatakan oleh Ibn ‘Abbas RA, Mujahid rahimahullah dan yang lainnya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/391; Tafsir al-Baghawi, 3/225; dan Tafsir Ibnu Kathir 3/405)
Islam amat menekankan untuk menghormati masjid, begitu rumah-rumah ibadah agama lain. Penghormatan yang diberikan oleh Islam ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf kewujudan agama-agama lain dan memelihara hak-hak mereka. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 40:
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
Etika Pemakaian di Rumah Ibadah Agama-Agama Lain
Secara umumnya, setiap rumah ibadah agama-agama ada menetapkan kod etika pemakaian walaupun ianya mungkin tidak tertera secara jelas dalam kitab suci masing-masing. Pergilah samada ke gereja, kuil Hindu, gurdwara, wat dan tokong di Malaysia, kesemuanya mempunyai kod etika pemakaian masing-masing yang dipatuhi dan dihormati sekian lamanya. Ianya diterima dengan baik tanpa bantahan oleh mana-mana pihak samada yang beragama Islam mahupun tidak. Malah, peraturan ini seakan sudah menjadi satu kesepakatan pada rumah-rumah ibadah seluruh dunia.
Kami lampirkan beberapa contoh peraturan rumah ibadah di agama-agama dunia yang boleh diakses di Internet:
· Kuil Angkor Wat telah menguatkuasakan undang-undang untuk tidak membenarkan pelancong ke situ sekiranya tidak menutup bahu dan lutut.[1]
· Mereka yang melawat Pope dan Vatican diwajibkan memakai pakaian yang menutup bahu dan bawah daripada lutut.[2]
· Pelawat Kuil Sri Mariamman Singapura dikehendaki memakai pakaian menutup bahu (dibenarkan juga menutupnya dengan selendang atau skaf), skirt dan seluar yang menutup lutut. Pakaian yang terlalu ketat, terlalu nipis dan terlalu mencolok mata hendaklah dielakkan.[3]
· Synagogue Yahudi iaitu Whitefield Hebrew Congregation turut mensyaratkan pemakaian dress, blaus ataupun skirt yang mana panjang lengannya dan skirt adalah ¾.[4]
Sepengetahuan kami, Queen Elizabeth juga memakai pakaian yang sopan ketika melawat Masjid Hijau di Bursa, Turki. Maka, ini menzahirkan bahawa berpakaian sopan ketika berada di rumah ibadah adalah satu bentuk nalar awam (common sense) semua masyarakat bermoral tinggi di seluruh dunia.
Sikap Saling Menghormati (Mutual Respect)
Sabda Nabi SAW:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
Maksudnya: Bukanlah daripada kami sesiapa yang tidak mengasihi yang kecil dalam kalangan kami dan tidak menyayangi yang dewasa dalam kalangan kami.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 1919)
Hadis tersebut menjelaskan tentang bagaimana seharusnya seorang Muslim menghormati dan mengasihi orang lain sesuai dengan usia atau kedudukan yang dimilikinya. Imam al-Tirmizi rahimahullah berkata: “Berkata sebahagian ulama bahawa makna sabda Nabi SAW ‘Bukan termasuk golonganku’ adalah ‘Bukan termasuk sunnah kami, bukan termasuk adab kami.” (Lihat Sunan al- Tirimizi, 4/322)
John Rawls ada menukilkan, “Oleh itu, sebagai tambahan kepada prinsip-prinsip bagi institusi-institusi, di sana perlu ada persetujuan tentang prinsip-prinsip untuk beberapa konsep antaranya keadilan dan kesetiaan, sikap saling menghormati (mutual respect) dan berbuat baik (beneficence) kerana ia terpakai kepada individu-individu, begitu juga kepada prinsip-prinsip bagi urustadbir negara.” (Lihat A Theory of Justice, m. 95)
Pada membahaskan Bab Prinsip Keadilan, John Rawls tidak menafikan kepentingan sikap saling menghormati di peringkat individu. Ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sisi tokoh falsafah Barat ini, sikap saling menghormati tidak boleh dipandang enteng dalam memaknai makna sebenar keadilan.
Hal ini juga jelas dalam Sukatan Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan Sekolah Menengah dan Sukatan Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan Sekolah Rendah, ada dinyatakan antara objektif subjek ini adalah memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Jika hal ini sudah pun dititikberatkan sejak peringkat sekolah rendah, sepatutnya tidak akan timbul isu berpakaian tidak sopan di rumah ibadah, khususnya masjid.
Tindakan Meminta Keluar Daripada Masjid
Sekiranya tindakan individu terbabit adalah satu bentuk yang boleh dianggap sebagai provokasi ataupun pengingkaran terhadap peraturan masjid, pihak pengurusan masjid berhak memintanya mematuhi peraturan dan mengambil tindakan yang bersesuaian atas tindakannya di bawah kuasa yang diberikan. Dari sudut perlembagaan, merujuk kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan: Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai mana-mana bahagian Persekutuan. Jika hal ini boleh difahami dengan baik oleh masyarakat bukan Islam, tidak timbul isu mengapa ada segelintir umat Islam tidak memahami akan hal ini.
Dalam masa yang sama, jika diteliti pada Perkara 11 (5) dijelaskan bahawa kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan kententeraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral. Individu tersebut sepatutnya sudah memahami bahawa hak pihak pengurusan masjid termaksud di bawah Perkara 11 (3) (a) iaitu tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri.
Begitu juga sekiranya seorang Muslim masuk ke rumah ibadah agama lain dan melakukan tindakan yang dianggap tidak menghormati rumah ibadah agama berkenaan, dia juga berhak dikeluarkan daripada rumah ibadah tersebut.
Kesimpulan
Etika pemakaian yang ditetapkan di masjid bukanlah sesuatu yang hal yang mengongkong sebaliknya ia bertujuan memelihara kemuliaan rumah Allah SWT. Malah, pemakaian jubah khas berwarna ungu yang ditetapkan di Masjid Negara, Kuala Lumpur adalah praktik yang juga dilakukan oleh rumah ibadah agama-agama lain di seluruh dunia yang mempunyai etika pemakaian yang tersendiri.
Kepada petugas dan pihak pengurusan masjid, gunakanlah kaedah yang terbaik dan profesional dalam menangani isu-isu seperti ini. Jelaskan dengan penuh kesantunan dan berundinglah dengan laras bahasa yang sesuai sekiranya ada pelawat yang mungkin tidak memahami peraturan ini. Firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)
Semoga kita sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan peribadi kita sebagai umat Islam. Sebagaimana kita inginkan penghormatan daripada pihak lain, begitu jugalah kita perlu bersedia menghormati keputusan dan kehendak pihak lain. Wallahu a’lam
[1] https://www.telegraph.co.uk/travel/destinations/asia/cambodia/articles/cambodia-angkor-wat-enforces-strict-new-dress-code/
[2] http://www.papalaudience.org/dress-code
[3] https://heb.org.sg/our-subsidiaries/temples/sri-mariamman-temple.aspx
[4] http://www.thewhc.co.uk/wp-content/uploads/2013/03/WHC-visitor-guide.pdf
Sumber:
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/2359-al-afkar-10-benarkah-masjid-kawasan-bebas-berpakaian
0 Comments