Benarkah Strawberry Hidup Subur Di Kedah?

Apa rahsia strawberi hidup subur di tanah rendah?

Bermula dengan hobi menanam pelbagai jenis pokok di halaman rumahnya di sini , Harusani Saari, 33, mempergiat aktivitinya dengan menanam strawberi di kawasan lebih luas dan hasilnya bukan sahaja memberangsangkan, malah kini menjadi tumpuan ramai.

Kawasan tanaman strawberi itu yang dinamakannya Laman Fig Suhanis seluas 1.5 ekar di Semeling di sini, kini tular di laman sosial.

Harusani berkata ladangnya itu diwujudkan kira-kira 4 tahun lalu, bermula dengan tanaman pokok tin sebelum tercetus idea untuk memulakan tanaman strawberi, kira-kira 8 bulan lalu, berselang-seli dengan tanaman pokok tin yang sudah mengeluarkan hasil.


Pengunjung dapat melihat sendiri tahap penjagaan dan kesegaran buah yang dijamin berkualiti. (Gambar Facebook)
“Sebagai permulaan saya membeli 100 anak benih dari Klang, Selangor, malah saya turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pegawai pertanian… apabila pokok membesar dan bercambah dengan baik saya beli tambah anak pokok baharu, kini terdapat beribu-ribu pokok strawberi di ladang ini dan kesemuanya sudah mula berbuah.

“Rasa buahnya setanding dengan buah yang ditanam di Tanah Tinggi Cameron, masam-masam manis, penjagaannya juga tidak sukar, boleh terdedah di bawah cahaya matahari walaupun iklim di sini tidak sejuk, bahkan daunnya tidak mudah diserang ulat atau dijangkiti penyakit, cuma tumpuan lebih perlu diberikan terhadap penyiraman dan pembajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di ladangnya, di sini hari ini.

Pada mulanya, beliau sekeluarga agak terkejut apabila ladang yang sebelum ini hanya dilawati ahli keluarga, jiran dan rakan terdekat, kini mendapat kunjungan ramai selepas tular di laman sosial sejak pertengahan Mac.

Sumber:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2018/04/03/kedah-pun-dah-ada-strawberi/

Post a Comment

0 Comments