Benarkah Warga Emas Hilang Disorok Makhluk Halus?

Sangkaan kami dia mungkin berjalan ke arah hutan. Lagipun pada hari kejadian ada penduduk berselisih dengannya tepi jalan, di situ bukan kawasan sungai.


‘Orang kata ayah kena sorok’



SIK - Anak kepada warga emas yang hilang sejak 1 Jun lalu masih mengharapkan ayahnya dapat ditemui semula.

Sabariah Jaafar, 42, berkata, dia sekeluarga berharap ayahnya, Jaafar Bakar, 80, dapat ditemui sekalipun operasi pencarian oleh pihak berkuasa ditamatkan ketika ini.


Katanya, pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk bertungkus-lumus mengesan mangsa.

“Penduduk sini dan luar pun dah datang mencari. Solat hajat pun dibuat, tapi belum jumpa. Harap-harap, dapat la jumpa juga.

“Ada yang kata disorok makhluk halus, macam-macam la dengar. Apa pun saya serahkan sepenuhnya kepada ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, Kampung Pinang Dun Belantik, tadi.


Menceritakan kembali hari terakhir mangsa di rumah, Sabariah berkata, Jaafar masih berada di rumah pada sekitar jam 8 hingga 10 pagi.

Katanya, sebelum hilang, Jaafar yang ingatannya tidak begitu kuat ada mengadu sakit perut kepadanya.

“Waktu tu ayah ada di luar rumah, saya minta dia masuk supaya buang air besar dalam rumah. Orang tua biasalah..dia sangka tandas di luar.

“Tak lama kemudian dia masuk ke dalam rumah dan kemudian masuk biliknya,” katanya.

Terdahulu, operasi mencari mangsa digerakkan polis, APM, bomba dan dibantu penduduk bermula hari kedua hingga semalam.

Kawasan pencarian di kawasan sungai dan hutan sebelum ini turut diperluas.

Penduduk terlibat operasi pencarian, Zakaria Saad, 63, berkata, tiada tanda-tanda mangsa terjatuh ke dalam sungai.

“Sangkaan kami dia mungkin berjalan ke arah hutan. Lagipun pada hari kejadian ada penduduk berselisih dengannya tepi jalan, di situ bukan kawasan sungai.

“Sungai pun sekarang cetek sebab bukan musim hujan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/orang-kata-ayah-kena-sorok-1.843208

Post a Comment

0 Comments