KENYATAAN MEDIA : BEKALAN AIR PERCUMA KEPADA GOLONGAN MISKIN DAN BERPENDAPATAN RENDAH- KERAJAAN NEGERI KOMITED MEMBANTU RAKYAT*
بسم الله الرحمن الرحم
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, dengan izin Allah setelah kerajaan negeri bertukar tampuk pemerintahan seusai pilihan raya umum ke-14 yang lalu, kerajaan negeri yang baharu ini telah pun mengumumkan pelaksanaan bekalan air percuma sejajar dengan apa yang ditawarkan menerusi manifesto PAS Terengganu yang ke-8. Manifesto tersebut jelas manyatakan bahawa bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Pengumuman tersebut telah pun dibuat oleh Y.A.B Menteri Besar Terengganu sendiri , Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada media pada 15 Mei 2018 yang lalu, iaitu dalam tempoh seminggu setelah membentuk kerajaan di Negeri Terengganu. Namun begitu masih lagi timbul salah faham dalam kalangan rakyat hari ini berkenaan pelaksanaan tuntutan ini.
Di sini suka untuk saya menarik perhatian semua sekali lagi bahawa, tawaran tersebut hanyalah untuk golongan yang berpendapatan rendah dan miskin sahaja. Kerajaan Negeri Terengganu hari ini komited dalam menjaga kebajikan rakyat, lebih –lebih lagi kepada golongan yang berpendapatan rendah dan miskin ini.
Sejak pengumuman oleh Y.A.B Menteri besar tersebut, golongan ini telah pun menikmati keistimewaan ini melalui bil yang dilampirkan kepada mereka. Isu yang timbul adalah ketika golongan yang bukan dari kalangan miskin dan berpendapatan rendah mempersoalkan keistimewaaan yang tiada pada mereka ini seolah-olah Kerajaan Negeri Terengganu memungkiri manifesto mereka. Sedangkan ianya tiadalah lain melainkan salah faham mereka sendiri dalam meneliti perkara tersebut.
Justeru, Kerajaan Negeri Terengganu hari ini seperti yang pernah diuar-uarkan oleh pihak media, pelaksanaan bekalan air percuma tersebut hanyalah termaktub dalam ruang lingkup penggunaan sebanyak 20 meter padu (m3) dan kebawah sahaja untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja. Jika sekiranya mereka menggunakan lebih dari kadar tersebut, contohnya 25m3, mereka hanya perlu membayar 5m3 sahaja.
Hal ini sedikit berbeza berbanding dengan pelaksanaan kerajaan negeri yang sebelum ini (BN). Pendekatan sebelum ini hanyalah percuma kepada penggunaan 20 m3 sahaja, Jika terlebih penggunaan, pengguna akan dikehendaki membayar untuk keseluruhan m3 yang digunakan. Contohnya, pengguna telah menggunakan 25 m3 bermaksud mereka perlu membayar untuk keseluruhan 25 m3 tersebut.
Untuk pengetahuan semua, golongan yang layak ini akan dikenal pasti menerusi data yang telah dikumpulkan oleh sistem e-kasih dan PPRT. Insya Allah dalam masa terdekat kerajaan negeri akan mengeluarkan kaedah yang baharu agar data yang diperoleh lebih telus dan menyeluruh. Hal ini supaya keistimewaan yang kita tawarkan ini benar-benar dirasai oleh mereka yang berhak.
Saya berharap penerangan saya ini jelas dan dapat difahami oleh semua.
"Terengganu Maju, Berkat & Sejahtera"
YB Dr Hj Mamad bin Puteh
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau.
25 Jun 2018/ 11 Syawal 1439
0 Comments